Saturday, June 20, 2009

Proposal terbaru...

Kumpulan kami merancang untuk menukar tajuk proposal, memandangkan tajuk yang pertama kurang relevan sekiranya hendak dijalankan di sekolah.
Dan tajuk terbaru adalah seperti berikut:

Tajuk:

Meningkatkan masa tumpuan belajar pelajar bermasalah kekurangupayaan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) menggunakan pengubahsuaian tingkah laku (peneguhan).

Bab 1: Pengenalan

1.1 Tujuan:

Meningkatkan masa tumpuan belajar pelajar bermasalah ADHD dalam pembelajaran di kelas.

1.2 Objektif:

1.2.1 Setiap pelajar terlibat menunjukkan peningkatan masa tumpuan dalam sesuatu aktiviti pembelajaran.

1.2.2 Pelajar tersebut dapat menyiapkan setiap tugasan yang diberikan.

1.3 Persoalan kajian:

Pelajar bermasalah pembelajaran terutamanya yang berkekurangupayaan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) tidak dapat memberi tumpuan yang lama ketika sesi pembelajaran di kelas. Oleh itu kami ingin membuat kajian tindakan untuk meningkatkan masa tumpuan belajar mereka dengan menggunakan pengubahsuaian tingkah laku iaitu melalaui kaedah peneguhan.

Bab 2: Sorotan Literatur

Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) atau kekurangupayaan hiperaktif dan kurang tumpuan adalah sejenis keadaan neurologi yang melibatkan masalah tumpuan dan keaktifan impulsif yang berkembang secara tidak konsisten dengan umur kanak-kanak. Masalah ini melibatkan kegagalan perkembangan fungsi penting otak yang mengawal kawalan dan limitasi diri. Kehilangan kawalatur kendiri ini mengganggu fungsi otak lain yang penting untuk mengimbangi perhatian termasuk kebolehan untuk membezakan ganjaran serta merta atau ganjaran terkemudian (Barkley, 1998a). Kanak-kanak yang mengidap ADHD biasanya diklasifikasikan kepada dua kategori ketahanan tumpuan yang teruk dan mempunyai gerak hati hiperaktif. Persatuan Psikiatri Amerika (APA) telah mengusulkan tiga subjenis kekurangupayaan dalam Diagostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-IV): iaitu tiada tumpuan pradominan, impulsive-hiperaktif pradominan dan jenis gabungan antara keduanya (Barkley, 1997).

Kanak-kanak hiperaktif akan menunjukkan kegelisahan, bermasalah untuk kekal berada di tempat duduk atau bermain dengan senyap, dan bertindak seperti mereka dipandu oleh sesuatu motor. Mereka yang menunjukkan gerak hati tidak terkawal lazimnya sukar menyertai aktiviti tugasan yang melibatkan sistem penggiliran. Tingkah laku lazim yang biasanya berlaku termasuk menjawab serta merta soalan tanpa menunggu untuk ditanya dan menukar satu tugasan kepada tugasan yang lain tanpa menyiapkan tugasan tersebut. Komponen kurang tumpuan ADHD memberi kesan kepada pengalaman pendidikan kanak-kanak tersebut kerana ADHD menyebabkan mereka tidak dapat memahami arahan yang terperinci, mengekalkan tumpuan dalam tempoh membuat tugasan dan tersalah meletakkan bahan yang diperlukan. Mereka akan gagal memberi tumpuan sepenuhnya kepada perincian tugasan, melakukan kesalahan secara kerap dan tidak gemar kepada tugasan yang melibatkan usaha ketahanan mental (U.S Department of Education, 2003).

Walaupun masalah tingkah laku dalam diri kanak-kanak tersebut bukan sebenarnya merupakan suatu masalah pembelajaran, hampir satu pertiga daripada pengidap ADHD mengalami masalah pembelajaran (National Institute of Mental Health (NIMH), 1999). Kanak-kanak dengan ADHD juga mengalami masalah dalam membaca, matematik dan komunikasi bertulis (Anderson, Williams, McGee, & Silva, 1987; Cantwell & Baker, 1991; Dykman, Akerman, & Raney, 1994; Zentall, 1993). Namun, dalam bidang akademik, kanak-kanak ADHD dikatakan biasanya mempunyai kecerdasan pada sekurang-kurangnya tahap terendah purata kecerdasan normal dan mempunyai kekuatan dari segi karakter personaliti dan individu tersendiri. Terdapat beberapa kaedah yang digunakan untuk merawat dan mendidik pelajar ADHD. Antaranya adalah pendekatan tingkah laku, pendekatan perubatan dan pendekatan multimodal. Menumpukan pada pendekatan pendidikan melalui pendekatan tingkah laku yang digunakan untuk menstruktur pelajar serta menggalakkan tingkah laku yang lebih baik, antara kaedah yang pernah digunakan ialah pendekatan melalui peneguhan positif, token ekonomi, “time-out” dan kos tindak balas (AAP, 2001; Barkley, 1998b; Pelham, Wheeler, & Chronis, 1998).

Dalam kajian ini pengkaji menumpukan perhatian untuk penambahbaik keupayaan tumpuan kanak-kanak ADHD melalui kaedah peneguhan.

Bab 3: Prosedur Kajian

3.1 Kitaran 1:

3.1.1 Merancang

Pengkaji merancang apakah data-data yang perlu dikumpul untuk mengetahui pengetahuan atau maklumat awal dalam kajian ini. Pengkaji akan memilih pelajar yang terlibat dalam pengumpulan data awal, guru-guru yang akan turut serta dalam kajian dan ibu bapa yang akan diberi soal selidik.Pengkaji akan menyediakan segala keperluan untuk prosedur pengumpulan data dan merancang masa kajian dan bagaimana mendapatkan semua data yang dikehendaki secara efisien.

3.1.2 Bertindak dan Pemerhatian

Pengkaji menjalankan prosedur pengumpulan data dan maklumat awal seperti yang dirancangkan. Pengkaji juga memerhatikan sebarang limitasi kajian dan masalah-masalah yang dihadapi semasa menjalankan pengumpulan data.

3.1.3 Merefleks

Pengkaji menganalisa segala data yang diperolehi, menentukan pelajar-pelajar yang menjadi peserta kajian dan menentukan peneguhan yang akan dijalankan kepada pelajar.

3.2 Kitaran 2:

3.2.1 Merancang

Pengkaji menyediakan Rancangan Pengajaran Harian atau Rancangan Pengajaran Individu kepada pelajar mengikut kumpulan dan tahap keupayaan pembelajaran mereka. Pengkaji menyatakan kaedah peneguhan yang akan digunakan kepada pelajar yang terlibat.

3.2.2 Bertindak dan pemerhatian

Pengkaji menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti yang dirancangakan. Rakaman video akan dijalankan. Pengkaji menuliskan laporan pemerhatian dalam pengajaran dan pembelajaran sebaik selesai sesi pengajaran dengan pelajar yang terlibat. Pengkaji menemubual pelajar yang terlibat, guru-guru yang mengajar pelajar tersebut serta mengedarkan soal selidik kepada ibu bapa pelajar.

3.2.3 Mereflek

Pengkaji meneliti dapat kajian daripada rakaman video, temubual pelajar dan guru serta soal selidik dengan ibu bapa. Pengkaji membuat analisa dan laporan dapatan analisa daripada data-data yang diperolehi. Pengkaji merancang kitaran seterusnya untuk penambahbaikkan.


Bab 4: Pengumpulan dan Penganalisisan Data

4.1 Sebelum tindakan pemerhatian

4.1.1 Pengkaji mengumpul data awal daripada pihak-pihak terlibat seperti;

Rekod data daripada pihak sekolah mengenai tahap prestasi pencapaian pembelajaran dan tingkah laku pelajar sama ada melalui rekod pentaksiran atau rekod pengajaran guru.

Temu bual dengan guru-guru yang mengajar pelajar tersebut (guru pendidikan khas) mengenai tahap tumpuan yang ditunjukkan oleh pelajar semasa dalam sesi pembelajaran dan faktor-faktor lain yang mempengaruhi kurang tumpuan selain daripada masalah hiperaktif.

Soal selidik yang diberikan kepada ibu bapa pelajar yang terlibat mengenai tingkah laku pelajar di rumah, peningkatan dalam pembelajaran di rumah, kebolehan mereka menumpukan perhatian kepada sesuatu perkara sama ada diminati atau tidak dan sama ada ibu bapa pernah menggunakan kaedah peneguhan atau tidak.

4.2 Semasa tindakan pemerhatian

Pengkaji akan merekodkan pemerhatian melalui rakaman video serta merekod masa tumpuan pelajar dalam kelas pembelajaran serta menulis pemerhatian kendiri guru dalam bentuk refleksi sebagai laporan pemerhatian pengajaran harian kepada pelajar tersebut.

4.3 Selepas tindakan pemerhatian

Pengkaji melakukan temu bual dengan pelajar yang terlibat untuk mengetahui pandangan dan perasaan mereka apabila guru menggunakan teknik peneguhan dalam pembelajaran mereka. Pengkaji juga akan menemubual guru-guru yang terlibat dalam mengajar pelajar tersebut untuk mengetahui adakah pelajar tersebut menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku atau perubahan masa tumpuan dalam kelas-kelas yang diajar.

Selain itu, pengkaji memberikan soal selidik susulan kepada ibu bapa pelajar untuk mengetahuo tahap peningkatan tumpuan mereka kepada sebarang aktiviti pembelajaran dan aktiviti-aktiviti lain di rumah.

4.4 Analisis Data

Pengkaji menganalisa data-data yang diperolehi dengan memerhatikan perubahan tingkah laku pelajar sekiranya ada menunjukkan peningkatan dari segi masa tumpuan terhadap sesi pembelajaran dan jumlah tugasan yang dapat disiapkan pelajar dalam suatu tempoh masa tertentu pembelajarannya.

Pengkaji membuat perbandingan antara pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran lain dalam kelas tersebut dan mengkategorikan analisa mengikut masalah pembelajaran yang dihadapi.

Memerhati dan menentukan jenis peneguhan yang menunjukkan kesan yang paling signifikan kepada pelajar berkekurangupayaan hiperaktif.

Catatan:

Kitaran 1 hanya melibatkan proses pengumpulan data dan maklumat awal kajian. Manakala kitaran 2 dan seterusnya melibatkan penyediaan implementasi kaedah peneguhan dalam sesi pembelajaran dan seterusnya penambahbaikkan.

5 Penutup

Kaedah peneguhan diharapkan dapat meningkatkan prestasi pelajar bermasalah kekurangupayaan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) dalam meningkatkan tempoh waktu tumpuan mereka dalam sesi pembelajaran yang seterusnya akan dapat meningkatkan prestasi mereka dalam pembelajaran.

6 Rujukan

American Academy of Pediatrics. 2001. Clinical practice guideline: Treatment of the school-aged child with attention deficit/hyperactivity disorder. Pediatrics, 108, 1033-1044. Retrieved from www.aap.org/policy/s0120.html.

Anderson, J. C., Williams, S. C., McGee, R., & Silva, P. A., 1987. DSM-III disorders in preadolescent children: Prevalence in a large sample from the general population. Archives of General Psychiatry, 44, 69-76.

Barkley, R. A. 1997. Behavioral inhibition, sustained attention, and executive functions: constructing a unifying theory of ADHD. Psychological Bulletin, 121:1, 65-94.

Barkley, R. A. 1998a. Attention-deficit hyperactivity disorder. Scientific American, 279: 3.

Barkley, R. A. 1998b. Handbook of Attention Deficit Hyperactivity Disorder (2nd ed.). New York: Guilford Press.

Cantwell, D. P., & Baker, L. 1991. Association between attention deficit-hyperactivity disorder and learning disorders. Journal of Learning Disabilities, 24, 88-95.

Dykman, R. A., Akerman, P. T., & Raney, T. J. 1994. Assessment and Characteristics of Children with Attention Deficit Disorder. Prepared for the Office of Special Education Programs, Office of Special Education and Rehabilitative Services, U.S. Department of Education.

National Institute of Mental Health (NIMH). 1999. Questions and answers. NIMH Multimodal Treatment Study of Children With ADHD. Bethesda, MD: NIMH.

Pelham, W. E., Wheeler, T., & Chronis, A. 1998. Empirically supported psychosocial treatments for attention deficit hyperactivity disorder. Journal of Clinical Child Psychology, 27, 190-205.

U.S Department of Education, 2003. Identifying and treating attention deficit hyperactivity disorder: A resource for school and home. Education Publication Centre. Jessup, MD.

Zentall, S. S. (1993). Research on the educational implications of attention deficit hyperactivity disorder. Exceptional Children, 60, 143-153.


No comments:

Post a Comment